Feri dari Kuala Kedah ke Langkawi memulakan operasi hari ini selepas terhenti selama 14 hari akibat PKPD Secara Pentadbiran Kota Setar yang ditamatkan semalam. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Feri dari Kuala Kedah ke Langkawi memulakan operasi hari ini selepas terhenti selama 14 hari akibat PKPD Secara Pentadbiran Kota Setar yang ditamatkan semalam. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Perkhidmatan feri dari Kuala Kedah, di sini, ke Langkawi beroperasi semula hari ini selepas dihentikan 14 hari berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran sejak 11 September lalu.

Pegawai Operasi Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Ahmad Azizan Aziz berkata, empat perjalanan feri dari Kuala Kedah ke pulau peranginan itu bermula sejak 8 pagi dan berakhir 4.30 petang.

"Bagaimanapun, jadual perjalanan itu hanya dilaksanakan selama tiga hari sehingga Isnin ini, namun jadual akan kembali normal mengikut jadual perjalanan asal bermula Selasa ini.

"Kita laksanakan empat perjalanan dahulu untuk tiga hari ini kerana mungkin ada yang masih fobia dengan penularan Covid-19 sebelum ikut jadual asal pada 29 September ini," katanya ketika ditemui di Terminal Feri Kuala Kedah, di sini.

Menurutnya, penumpang digalakkan membeli tiket dalam talian bagi mengelakkan kesesakan di kaunter dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Katanya, jangkaan kemasukan pelancong ke Langkawi hari ini adalah seramai 500 orang, dan jumlah itu akan bertambah pada hujung minggu.

Sementara itu, tinjauan mendapati lebih 100 penumpang menggunakan perkhidmatan feri melalui Terminal Feri Kuala Kedah, di sini, untuk ke Langkawi.

Sementara itu, penumpang feri, Azwan Shah Masod, 35, berkata dia bertolak dari Johor sejak petang semalam sebelum tiba di Terminal Feri Kuala Kedah pagi ini kerana mempunyai urusan di Langkawi.

"Paling penting kena pakai pelitup muka, guna pengimbas MySejahtera ikut SOP yang ditetapkan kerana Covid-19 masih ada di mana-mana," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 2:57 PM