DR Radzi (tengah) ketika hadir pada Majlis Kupi-Kupi di SMK Nabawan. FOTO Malai Rosmah Tuah
DR Radzi (tengah) ketika hadir pada Majlis Kupi-Kupi di SMK Nabawan. FOTO Malai Rosmah Tuah
Yun Mikail

Nabawan: Sebanyak RM350,000 peruntukan disalurkan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabawan, dekat sini, bagi memastikan semua pelajar memperoleh persekitaran pembelajaran lebih kondusif. Peruntukan berkenaan termasuk RM150,000 bagi membeli 100 set katil asrama selain RM200,000 untuk penyelenggaraan.

Pengetua SMK Nabawan, Haliman Darion berkata, kekurangan katil asrama antara masalah sering dihadapi sekolah berkenaan namun pihaknya sentiasa mencari jalan penyelesaian bagi membolehkan semua pelajar asrama menerima fasiliti terbaik.

"Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) sebelum ini sudah menurunkan peruntukan 18 set katil namun ia tidak mencukupi.

"Bagaimanapun, kita masih tetap berusaha mewujudkan kemudahan lengkap kepada pelajar dengan inisiatif membina katil sendiri secara bergotong-royong bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Nabawan.

"Kita mendapat peruntukan untuk membeli bahan mentah dan berjaya menghasilkan kira-kira 15 katil bagi keperluan asrama, tetapi masalah kekurangan katil masih belum dapat diatasi.

"Oleh itu, kita bersyukur dan berterima kasih kepada KPM yang memberikan peruntukan agar kami dapat menyelesaikan masalah kemudahan asrama di sekolah ini," katanya ketika ditemui media selepas Majlis Kupi-Kupi di sekolah berkenaan.

Haliman berkata, asrama sekolah menengah terbabit mempunyai kapasiti 300 orang namun ketika ini hanya menempatkan 270 pelajar asrama.

Mengulas lanjut berkaitan permasalahan dihadapi sebelum ini, Haliman berkata, penghuni asrama yang tidak mempunyai katil hanya tidur beralaskan tilam di atas lantai, malahan pihaknya hanya mampu menyediakan kira-kira enam hingga tujuh tilam sahaja ketika ini disebabkan faktor penjarakan sosial.

HALIMAN. FOTO Malai Rosmah Tuah
HALIMAN. FOTO Malai Rosmah Tuah

Dalam pada itu, beliau berkata, selain dapat menangani kekangan katil asrama, pihaknya turut lega berikutan mampu menyelesaikan beberapa perkara berkaitan penyelenggaraan di sekolah terbabit.

"Hampir 80 peratus tandas di sekolah ini rosak selain ada yang tidak berfungsi dengan baik.

"Hal ini salah satu perkara yang harus diselesaikan ekoran ia adalah suatu keperluan bagi warga sekolah.

"Selain itu, peruntukan yang diberikan juga akan digunakan untuk menaik taraf bilik mandi serta kawasan menyidai pakaian di dalam asrama," katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin mengumumkan peruntukan berkenaan sempena lawatan kerja beliau ke sekolah terbabit.

Dr Radzi sebelum itu turut melawat ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bahagia dan SK Tetagas bagi meninjau kawasan sekolah serta asrama desa selain menyalurkan peruntukan yang diperlukan bagi dua sekolah rendah terbabit.

DR Radzi beramah mesra bersama tenaga pendidik dan kakitangan sekolah di samping meninjau permasalahan dihadapi sempena lawatan kerja ke SMK Nabawan. FOTO Malai Rosmah Tuah
DR Radzi beramah mesra bersama tenaga pendidik dan kakitangan sekolah di samping meninjau permasalahan dihadapi sempena lawatan kerja ke SMK Nabawan. FOTO Malai Rosmah Tuah

Sementara itu, Dr Radzi dalam ucapannya berkata, kedatangan beliau bersama kementerian ke Sabah bukanlah suatu kunjungan kosong malah datang untuk merapatkan jurang pendidikan terutama dalam kalangan murid serta pelajar di luar bandar.

"Setiap kali saya turun ke Sabah, ia seperti memberi suatu semangat baharu apabila melihat anak-anak di sini. Ini bukan perjalanan suka-suka kerana setiap perjalanan pasti ada misinya yang tersendiri.

"Saya melihat semangat, kekentalan dan jati diri pelajar kita di negeri ini sangat luar biasa. Ada antara murid atau pelajar sudah mula hidup berdikari di asrama seawal usia tujuh tahun.

"Selain cukup berdikari, mereka ini juga petah bercakap. Tanyalah apa sahaja soalan, anak-anak ini mampu menjawabnya dengan baik.

"Selaku sebuah kerajaan bertanggungjawab, pelbagai usaha disediakan oleh kementerian. Kita boleh bekerja keras untuk merangka perancangan yang baik dan menyusun pelan pendidikan anak-anak kita di Sabah, tetapi akhir sekali perkara paling penting ialah pelaksanaannya perlu dilakukan dengan pantas.

"Sebab itu adalah amat penting kerajaan negeri ini selari dengan kerajaan persekutuan. Saya tekankan kepada semua guru dan memohon jasa baik mereka supaya membantu kami di kementerian memastikan supaya perancangan untuk pelajar di Sabah dapat dilaksanakan dengan lancar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 7:45 AM