Norzamira Che Noh

Kuala Langat: Sasaran mereka adalah kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dipotong sebelum mahu dijual semula sebagai 'besi buruk' untuk mendapatkan wang mudah.

Itu kegiatan 15 lelaki yang diberkas polis susulan penemuan 4.5 tan kabel milik TNB dianggarkan bernilai RM150,000 di Telok Panglima Garang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, pihaknya menerima empat laporan berhubung kes kecurian kabel TNB sejak beberapa bulan lalu.

Menurutnya, hasil risikan mendapati terdapat sebuah premis memproses besi buruk di Telok Panglima Garang yang disyaki membeli kabel berkenaan.

"Hasil serbuan dilakukan di premis itu, kami merampas 4.5 tan kabel milik TNB serta menahan 15 lelaki termasuk pemilik premis. Tangkapan turut membabitkan lelaki tempatan, tiga warga Indonesia, seorang Bangladesh.

"Kesemua kabel yang dirampas dianggarkan bernilai RM150,000 selepas ditaksirkan oleh wakil TNB," katanya tadi.

AZIZAN (tengah) menunjukkan hasil yang diperolehi selepas kabel dileraikan selepas sidang media di IPD Kuala Langat. FOTO Norzamira Che Noh
AZIZAN (tengah) menunjukkan hasil yang diperolehi selepas kabel dileraikan selepas sidang media di IPD Kuala Langat. FOTO Norzamira Che Noh

Beliau berkata, turut dirampas adalah tiga lori serta sebuah kren bergerak yang dipercayai digunakan untuk membawa muatan kabel dicuri.

Katanya, salah sebuah lori yang dirampas adalah milik syarikat yang dilantik sebagai 'subcontractor' kepada TNB dan pihaknya masih menyiasat sama ada syarikat berkenaan masih mempunyai kontrak dengan TNB.

"Difahamkan, suspek memakai 'vest' milik TNB untuk mengaburi mata orang awam ketika melakukan jenayah itu.

"Siasatan bersama Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) turut mendapati premis yang digunakan untuk memproses kabel berkenaan tidak memiliki lesen," katanya.

Azizan berkata, kesemua tangkapan ditahan reman selama empat hari sehingga Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 6:10 PM