GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Lebih 24 jam menjejaki bapanya yang tidak pulang ke rumah sejak kelmarin, seorang anak terkejut apabila dimaklumkan penemuan mayat bapanya di perairan laut Pulau Pinang di sini, tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata, polis menerima laporan dibuat anak lelaki mangsa tengah hari tadi, memaklumkan bapanya berusia 57 tahun tidak pulang ke rumah sejak keluar jam 2.30 petang semalam.

Menurutnya, anak lelaki mangsa beberapa kali cuba menghubungi telefon bimbit bapanya namun tidak dijawab.

"Berikutan itu, dia dan ahli keluarganya dari Lunas, Kedah, keluar mencari bapanya sebelum terjumpa motosikal milik mangsa di KM 4.0 menghala ke Perai di Jambatan Pulau Pinang.

"Bagaimanapun, anak mangsa tidak menemui bapanya di lokasi kejadian dan beranggapan motosikal bapanya itu rosak di atas jambatan.

"Pada jam 1 tengah hari tadi polis menerima maklumat berhubung penemuan mayat lelaki sebelum dibawa ke Jeti Pangkalan Marin Batu Uban untuk pemeriksaan lanjut.

"Mayat lelaki itu disahkan sebagai lelaki yang dilaporkan hilang berkenaan. Pemeriksaan ke atas mayat mangsa tidak menemui sebarang kesan kecederaan atau unsur jenayah.

"Bedah siasat yang dilakukan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan lemas," katanya.

Beliau berkata, mangsa dipercayai bertindak membunuh diri ekoran masalah kewangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2020 @ 8:27 PM