MUHAMMAD Sanusi. FOTO Arkib NSTP
MUHAMMAD Sanusi. FOTO Arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini perlu dikekalkan, kata Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Muhammad Sanusi berkata, Muhyiddin harus diberi kepercayaan menerajui pentadbiran negara berikutan keupayaannya menangani krisis kesihatan dan ekonomi dengan cekap serta efisien.

Katanya, kadar pemulihan ekonomi negara daripada penguncupan sebanyak 25.4 peratus dalam tempoh tiga bulan antara April hingga Jun lalu, adalah suatu tanda kesungguhan dan permuafakatan kerajaan dan rakyat dalam berdepan Covid-19.

"Malaysia bukan sahaja sebagai antara negara terbaik dalam kejayaan mengekang penularan wabak Covid-19 malah menunjukkan trend pemulihan ekonomi yang amat meyakinkan.

"Mudah-mudahan matlamat untuk ekonomi negara kita berkembang pada tahap lima hingga lapan peratus pada tahun hadapan dapat dicapai.

"Untuk itu, kerajaan yang ada pada hari ini perlu dikekalkan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri menyambut baik langkah Kerajaan Persekutuan melaksanakan pakej bantuan 'Kita Prihatin' dengan peruntukan RM10 bilion yang diumumkan Perdana Menteri dalam perutusan khas, petang tadi.

Katanya, peruntukan Geran Khas Prihatin sebanyak RM600 juta, Subsidi Upah 2.0 berjumlah RM2.4 bilion dan Bantuan Prihatin Nasional 2.0 bernilai RM7 bilion adalah bukti keprihatinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terhadap kesukaran hidup rakyat terutama di peringkat bawah dalam menghadapi situasi sukar akibat pandemik Covid-19.

"Di peringkat negeri, pesanan Perdana Menteri agar pemimpin kerajaan lebih kerap turun mendengar sendiri masalah rakyat akan jadi peringatan bagi diri saya, barisan Exco dan juga pegawai kerajaan negeri dan Persekutuan.

"Kerajaan negeri juga akan meningkatkan kerjasama dengan kerajaan Pusat bagi memastikan negara dapat segera keluar dari zon yang mencabar ini," katanya.

Muhammad Sanusi turut berharap rangsangan yang diumumkan Perdana Menteri dapat dimanfaatkan oleh rakyat Kedah yang sebilangannya masih terjejas teruk oleh Covid-19 untuk berbelanja dengan sebaik mungkin mengikut keutamaan.

Berita berkaitan:

  • Bubar saja Parlimen - Tajuddin
  • Pas cabar Anwar senaraikan nama beri sokongan
  • Tiada Ahli Parlimen GPS lompat - Abang Johari
  • Ada Ahli Parlimen Umno, BN nyata sokongan kepada Anwar: Ahmad Zahid
  • Saya masih Perdana Menteri: Muhyiddin
  • Agong titah semua pihak utamakan kesejahteraan rakyat
  • Anwar rakus, gila kuasa
  • GPS berdiri teguh di belakang Muhyiddin
  • DAP sokong Anwar
  • PM tenang saja
  • 'Kerajaan tidak tumbang dengan hanya isytihar sahaja'
  • Amanah sokong Anwar
  • 'Saya dapat sokongan hampir dua pertiga Ahli Parlimen' - Anwar
  • Anwar umum dapat sokongan kukuh bentuk kerajaan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 8:39 PM