GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Persidangan Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 yang bersifat menyokong inisiatif pemulihan ekonomi oleh kerajaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Rang undang-undang yang dibentangkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Shabudin Yahaya itu diluluskan dengan suara terbanyak Ahli Dewan Negara selepas bacaan kali ketiga.

Ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu, Shabudin berkata tiada individu yang diambil tindakan muflis dalam tempoh negara dilanda penularan Covid-19.

"Ini kerana dalam tempoh tersebut kita istilahkan sebagai 'freeze'. Malah, bank juga tidak ambil sebarang tindakan, dan dalam keadaan tersebut kita harap ini dapat meringankan beban rakyat yang terkesan," katanya.

RUU itu bertujuan mengadakan peruntukan bagi langkah-langkah sementara untuk mengurangkan kesan Covid-19, termasuk mengubah suai 16 perundangan iaitu Akta Had Masa 1953; Ordinan Had Masa Sabah dan Ordinan Had Masa Sarawak.

Akta lain ialah Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948; Akta Insolvensi 1967; Akta Sewa Beli 1967; Akta Perlindungan Pengguna 1999; Akta Distres 1951; Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966; Akta Perhubungan Perusahaan 1967; Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981; Akta Pengangkutan Awam Darat 2010; Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987; Akta Mahkamah Kehakiman 1964; Akta Mahkamah Rendah 1948 dan Akta Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah 1955.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 8:28 PM