GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kerajaan Kedah menafikan dakwaan mengeluarkan lesen balak baharu berhampiran Empangan Ahning sehingga menyebabkan kawasan hutan di sekitarnya gondol seperti gambar dimuat naik seorang aktivis, semalam.

Pejabat Menteri Besar dalam kenyataan hari ini menyifatkan, hantaran yang dimuat naik ke media sosial itu satu usaha untuk memberi persepsi buruk terhadap kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor.

"Dalam hantaran itu terdapat dua imej satelit hutan berhampiran Empangan Ahning tersebar menerusi pelbagai plaform media sosial yang seolah-olah kerajaan negeri hari ini yang membenarkan pembalakan di kawasan itu pada Julai dan Ogos lalu.

"Sebenarnya, kerajaan Kedah pimpinan Muhammad Sanusi mengambil alih kepimpinan bermula 17 Mei lalu tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen pembalakan baharu," katanya.

Malah, kenyataan itu menyebut, rekod Jabatan Perhutanan Negeri berkaitan pembalakan di kawasan itu menunjukkan lesen membalak dikeluarkan pada 2019 iaitu untuk tempoh berkuat kuasa antara 25 Februari hingga 25 Ogos lalu.

Ia juga lesen yang disambung semula oleh Jabatan Perhutanan Negeri disebabkan kerja pengusaha hasilan yang belum selesai.

"Jabatan Perhutanan mengeluarkan lesen membalak untuk keluarkan semua hasil sebelum tanah itu diluluskan hak miliknya kepada syarikat Tradewinds.

"Keputusan untuk memberi hak milik tanah kepada syarikat berkenaan dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Tanah dan Hasil Bumi pada 1 Ogos 2017," katanya.

Terdahulu, Facebook (FB) Sabrina Syed atau Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil yang juga Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) memuat naik imej satelit dengan dakwaan berlaku kemusnahan hutan seluas 75 hektar bersebelahan Tasik Ahning daripada Julai hingga Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 5:19 PM