Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador (tengah) bersama Hazani Ghazali (dua kanan) beramah mesra ketika tinjauan pengundian awal Ibu Pejabat Kontinjen Sabah sempena PRN Sabah 2020. FOTO ASWADI ALIAS
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador (tengah) bersama Hazani Ghazali (dua kanan) beramah mesra ketika tinjauan pengundian awal Ibu Pejabat Kontinjen Sabah sempena PRN Sabah 2020. FOTO ASWADI ALIAS
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan akan meneliti keperluan mereka yang dikuarantin boleh menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya masih menanti keputusan daripada kerajaan selepas mesyuarat mengenai perkara itu diadakan.

Beliau berkata, SPR tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang pindaan terhadap undang-undang berkaitan pengundian.

Katanya, keputusan sama ada mereka yang tidak dapat mengundi Sabtu ini diberikan tarikh lain masih dalam penelitian dan tertakluk kepada keputusan kerajaan kerana ia membabitkan pindaan undang-undang.

"Kami masih menunggu maklumat lanjut mengenai perkara itu (kebenaran mengundi bagi individu dikuarantin) daripada kerajaan dan keputusan itu akan diketahui dalam masa terdekat.

"Setakat ini, SPR akan mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau proses pengundian awal di Mes Pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Beliau berkata, setakat 10 pagi tadi, SPR mencatatkan 35 peratus anggota keselamatan yang sudah keluar menunaikan tanggungjawab dalam proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, hari ini.

Abdul Ghani berkata, secara keseluruhan dia berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian awal membabitkan anggota keselamatan dan pasangan.

"Saya melihat semua pusat pengundian awal ini mematuhi SOP yang ditetapkan berjalan lancar," katanya.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 11:55 AM