Kawasan pencarian mangsa di sekitar Sungai Muar. Foto Ihsan Bomba
Kawasan pencarian mangsa di sekitar Sungai Muar. Foto Ihsan Bomba
Essa Abu Yamin


Muar: Mayat seorang daripada dua beranak yang lemas selepas turun ke Sungai Muar di sini, semalam ditemukan jam 3.15 petang tadi.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim, Mohammad Othman berkata, mayat Zainal Jerman, 61, ditemukan terapung oleh sekumpulan nelayan tempatan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak pagi tadi.

"Mangsa pertama itu ditemui kira-kira satu batu nautika daripada lokasi kedua-dua mangsa itu dilaporkan hilang.

"Nelayan tempatan yang berada di kawasan terbabit menemui mangsa dalam keadaan terapung dan kemudiannya menyerahkan kepada pihak bomba yang berada di lokasi pencarian berhampiran," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, mayat diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk pengecaman oleh waris.

"Operasi SAR yang dianggotai oleh 61 individu membabitkan enam agensi itu masih diteruskan bagi mencari seorang lagi mangsa, Muhammad Azwan, 25.

"Sebuah helikopter berserta 18 bot digunakan dalam operasi berkenaan dan radius pencarian esok akan diperluaskan sejauh kira-kira 50 batu nautika," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip mengesahkan penemuan mayat berkenaan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

b>Berita berkaitan

Dua beranak dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 9:22 PM