HAZANI. FOTO Arkib NSTP
HAZANI. FOTO Arkib NSTP
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Polis akan mengadakan perbincangan dengan pihak berwajib khas bagi memperhalusi kaedah untuk membenarkan pesakit Covid-19 keluar mengundi, Sabtu depan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, beliau akan mengaturkan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung perkara itu.

Katanya, ia amat perlu kerana ini adalah situasi pertama yang dihadapi membabitkan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Kita tidak nafikan, semua orang layak mengundi namun kita perlu memikirkan kaedah untuk membolehkan mereka yang disahkan positif Covid-19 keluar mengundi mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) tertentu.

"Perkara ini akan diperhalusi bersama dengan pihak terbabit bagi membincangkan tindakan yang boleh diambil bagi mengelakkan wujudnya kluster baharu sepanjang waktu mengundi," katanya.

Sementara itu, Hazani berkata, seramai 6,628 anggota polis akan keluar mengundi dan bertugas sepanjang hari mengundi 26 September ini.

"Seramai kira-kira 11,000 anggota dan pegawai polis serta keluarga akan mengundi pada Sabtu depan dan undi awal pada Selasa ini.

"Perihal berkempen di pantai timur Sabah kita memberikan kelonggaran untuk keluar berkempen bagaimanapun ditegaskan kepada calon dan ahli parti agar sentiasa mematuhi SOP ditetapkan," katanya.

Tambahnya, setakat ini polis menerima sembilan laporan berkenaan kesalahan Akta Pilihan Raya dan Akta Multimedia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


    Lagi berita berkaitan PRN Sabah

  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 8:01 PM