GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tiada sebarang pengumuman rasmi dari Kerajaan Arab Saudi berhubung kebenaran menunaikan umrah setakat ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata, perkara itu disentuh beliau dalam pertemuannya dengan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Mahmoud Hussein Saeed Qattan, empat hari lalu.

"Saya bertemu dengan Duta Arab Saudi lebih kurang empat hari lepas, saya ada utarakan.. rasa-rasa bila (agaknya) visa umrah secara rasmi dibuka, dan beliau nyatakan setakat ini tidak ada pengumuman rasmi mengenainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Pasca Perkahwinan Islam Fasa 'Sehati Sejiwa' 2020, di sini, hari ini.

Mengenai program berkenaan, Zulkifli berkata, ia adalah projek perintis sebagai sebahagian daripada inisiatif bagi mengurangkan kadar perceraian dalam negara.

Kursus yang dihadiri 15 pasangan suami isteri itu diadakan khusus bagi memantapkan ilmu dan pengetahuan peserta ke arah mengukuhkan keharmonian rumah tangga bagi mendepani pelbagai cabaran kehidupan termasuk ujian pandemik Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 7:37 PM