MOHD Fakhruddin (kiri) ketika melihat keadaan rumah mangsa yang dihempap pokok kelapa dan kekabu di Kampung Padang Rumbia. FOTO Mohd Rafi Mamat
MOHD Fakhruddin (kiri) ketika melihat keadaan rumah mangsa yang dihempap pokok kelapa dan kekabu di Kampung Padang Rumbia. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

Pekan: Angin kencang selama 10 minit menyebabkan sebuah rumah papan dihempap pokok kelapa dan kekabu secara serentak di Kampung Padang Rumbia, di sini, Isnin lalu.

Warga emas, Mohamed Anuar A Aziz, 60, berkata ketika kejadian 5.30 petang itu, dia sekeluarga tiada di rumah sebelum jiran menghubungi menyatakan dua pokok menghempap rumah pusaka miliknya.

Katanya, dia segera bergegas pulang dan terkejut melihat tiga bilik musnah dihempap pokok kelapa dan kekabu sebesar pemeluk orang dewasa.

"Saya difahamkan pokok kekabu menimpa pokok kelapa menyebabkan dua pokok berkenaan tumbang serentak ke atas rumah, banyak kayu serta dinding patah selain 12 keping atap zink rosak.

"Saya mula pindah ke rumah pusaka ini bersama isteri, Rosmi Hassan, 60, dan anak, Md Addin, 26, selepas bersara sebagai kakitangan kilang kelapa sawit di Felda Bukit Sagu, Kuantan.

"Dalam keadaan diri tidak sihat selepas diserang angin ahmar ringan dua bulan lalu, usaha membaiki rumah dengan kos dianggarkan RM10,000 ini agak membebankan," katanya.

Mohamed Anuar berkata, dia berterima kasih kepada pelbagai agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung yang membantu membersih serta memindahkan pokok kelapa dan kekabu itu.

Katanya, dia turut menerima bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pekan dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) serta wakil rakyat.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bebar, Datuk Mohd Fakhruddin Mohd Ariff berkata, pihaknya akan berusaha membantu membaiki rumah mangsa bagi meringankan beban mereka sekeluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 4:38 PM