PERANG bendera di sepanjang jalan bandar siera pada sempena PRN Sabah 2020. FOTO Aswadi Alias
PERANG bendera di sepanjang jalan bandar siera pada sempena PRN Sabah 2020. FOTO Aswadi Alias
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Polis Sabah menerima tujuh laporan membabitkan pelbagai kesalahan dan salah laku sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) setakat ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Asisten Komisioner Tan Boon Sing berkata, antara kesalahan yang dikesan membabitkan empat kes fitnah mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan/Akta 233 Multimedia.

Katanya, dua lagi kes yang dilaporkan membabitkan kesalahan khianat awam mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan.

"Satu lagi kes yang diterima oleh pihak polis adalah membabitkan Seksyen 25 Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara.

"Siasatan membabitkan laporan yang dibuat sedang dijalankan untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tan berkata, setakat hari ini, tiada sebarang insiden serius sehingga mencetuskan kekecohan yang mengganggu ketenteraman awam di mana-mana lokasi.

Katanya, begitu juga dengan sebarang perlanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) dari mana-mana calon parti yang bertanding.

Sementara itu, Tan berkata, setakat hari ini juga, PDRM meluluskan 1,627 permit untuk ceramah dan kempen manakala tiada permohonan yang ditolak sepanjang tempoh empat hari terkini.

Selain itu ketika ditanya berkenaan insiden replika logo Warisan dirosakkan, Tan berkata, setakat ini tiada sebarang laporan diterima setakat ini

"PDRM ingin mengingatkan sebarang perjumpaan dan perhimpunan membabitkan ceramah politik perlu mendapatkan permit kelulusan daripada Ketua Polis Daerah masing-masing," katanya.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 1:30 PM