ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan di sebuah pusat hiburan di Bangsar Baru yang beroperasi ketika PKPP. FOTO ihsan polis
ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan di sebuah pusat hiburan di Bangsar Baru yang beroperasi ketika PKPP. FOTO ihsan polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seramai 137 pengunjung termasuk beberapa warga asing dikenakan kompaun RM1,000 selepas didapati ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) apabila berhibur di sebuah pusat hiburan di Bangsar Baru, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, serbuan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di premis berkenaan jam 12.40 tengah malam tadi.

"Daripada 137 pengunjung yang dikompaun, empat pelanggan termasuk seorang wanita dari India, Bangladesh dan Filipina serta seorang penjaga premis tempatan ditahan.

"Kami turut merampas pelbagai peralatan audio selain resit, komputer riba serta sejumlah wang tunai," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992 dan Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Jalan Kawasan Tempatan Jangkitan)(No. 7)(2020).

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan lesen premis hiburan akan ditarik jika dikesan masih beroperasi sepanjang tempoh PKPP.

Malah, pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah diberi arahan untuk menarik semula lesen premis terbabit dan menghentikan operasi mereka untuk selama-lamanya sekiranya masih berdegil.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 6:35 PM