MUHYIDDIN (empat kiri) melancarkan Aku Janji GRS. FOTO Aswadi Alias
MUHYIDDIN (empat kiri) melancarkan Aku Janji GRS. FOTO Aswadi Alias
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kota Kinabalu: Aku Janji Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah usaha membawa Sabah ke era dan harapan baharu selepas Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) mengambil alih tampuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Pengerusi PN Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, Sabah mampu memacu pembangunan lebih menyeluruh sekiranya mempunyai hubungan baik dan sehaluan dengan kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah terbukti berjaya melakukan yang terbaik kepada negara dan Sabah walaupun baharu mengambil alih pentadbiran.

"Saya yakin jika berpaksikan hak Sabah di bawah Penjanjian Malaysia (MA63), Aku Janji GRS ini akan menjadi satu keistimewaan bagi rakyat Sabah dalam PRN.

"Di peringkat Persekutuan, kita ada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, jadi Aku Janji ini adalah tawaran lebih baik untuk memulihkan ekonomi yang dihancurkan pentadbiran Parti Warisan Sabah (Warisan)," katanya dalam Majlis Pelancaran Aku Janji GRS yang dilancarkan Muhyiddin yang juga Pengerusi PN, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Radin Malleh dan Setiausaha Agung PN, BN dan PBS.

Aku Janji mempunyai sembilan teras itu merangkumi infrastruktur, ekonomi, peluang pekerjaan, perkhidmatan awam, kesihatan dan kesejahteraan rakyat, pendidikan modal insan, keselamatan, belia, pembangunan wanita.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, menerusi Aku Janji ini, rakyat diyakini akan memberi sokongan padu dalam PRN 26 September ini.

Katanya, fokus adalah utama adalah untuk memulihkan ekonomi Sabah ekoran kesan Covid-19.

"Aku Janji ini adalah usaha berterusan PN, BN dan PBS memberikan kemudahan rakyat Sabah yang akan dilaksanakan selama gabungan ini diberi mandat.

"Kerajaan Pusat beri autonomi untuk Sabah tentukan hala tuju asalkan selari dengan mereka (kerajaan Pusat)," katanya.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 3:21 PM