PENUTUPAN laluan di daerah Kota Setar. FOTO Ihsan PDRM
PENUTUPAN laluan di daerah Kota Setar. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


Alor Setar: Empat lagi laluan ditutup untuk menghalang penduduk keluar masuk ke daerah Kota Setar ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran.

Penutupan laluan itu bermula jam 9 pagi hari ini membabitkan persimpangan Jalan Tok Keling iaitu laluan dari arah Pendang ke Alor Mengkudu dan Jalan Datuk Kumbar.

Selain itu, jalan sempadan Kota Setar ke Pendang iaitu dari Kilometer 7 Alor Setar ke Tanah Merah, Pendang dan lokasi persimpangan Jalan Tualang - Tobiar - Kubur Panjang iaitu laluan dari Titi Haji Idris ke Tualang, Tobiar dan Kubur Panjang.

Satu lagi laluan iaitu lokasi persimpangan lampu isyarat Titi Haji Idris iaitu dari arah Pendang ke Datuk Kumbar dan Alor Mengkudu turut ditutup.

Ini menjadikan tujuh laluan di kawasan sempadan daerah ditutup di Kota Setar dan sembilan sekatan jalan raya (SJR) didirikan ketika PKPD Secara Pentadbiran sejak Jumaat lalu.

Antara SJR terbabit adalah di Alor Setar ke Pokok Sena dan Pokok Sena ke Alor Setar di Jabi, hadapan Restoran Haji Ramli di Simpang Empat, Jalan Batas Paip di Kuala Kedah, Tol Alor Setar Utara dan Tol Alor Setar Selatan, hadapan Balai Polis Kepala Batas, hadapan Balai Polis Alor Janggus dan Jalan Hutan Kampung.

Selain itu, tiga laluan yang ditutup semalam termasuklah di Jalan Gunung ke Sungai Korok, Simpang Gelong Air ke Gunung Keriang dan Simpang ke Kangar, Perlis.

PKPD Secara Pentadbiran bermula sejak 11 September lalu hingga 25 September membabitkan 366,787 isi rumah di 28 mukim di daerah Kota Setar berikutan penularan Covid-19.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Nor Azman Mohd Noor mengesahkan penutupan empat laluan itu hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 2:21 PM