MUHYIDDIN (duduk, tengah) bergambar dengan pemimpin daripada Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) selepas perjumpaan 11 September lalu. FOTO Bernama
MUHYIDDIN (duduk, tengah) bergambar dengan pemimpin daripada Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) selepas perjumpaan 11 September lalu. FOTO Bernama
Veena Rusli


Kota Kinabalu: Aku Janji Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 yang akan dilancarkan Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini, petang ini bakal menjadi tawaran baharu buat rakyat Negeri di Bawah Bayu ke arah kehidupan lebih baik.

Aku Janji yang akan diguna pakai oleh calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) itu semestinya membawa bersama aspirasi meningkatkan taraf hidup rakyat jika pentadbiran negeri kembali sehaluan dengan kerajaan Persekutuan.

Lebih manis pastinya majlis pelancaran yang secara kebetulan dibuat seiring sambutan Hari Malaysia ke-57.

Antara isu mendesak dihadapi rakyat yang perlu ditangani secara tuntas pastinya membabitkan peluang pekerjaan buat anak muda, ruang pendidikan lebih baik untuk semua dan kemudahan infrastruktur asas yang membebani rakyat sejak sekian lama.

Pasca Covid-19, norma baharu perlahan-lahan menyusup masuk ke dalam kehidupan harian rakyat dan perubahan itu juga memerlukan perhatian pemimpin, terutama dalam menunjuk arah peluang menjana pendapatan supaya mereka dapat berdikari tanpa perlu terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan.

Persoalan sejauh mana tawaran Aku Janji GRS dapat memenuhi kemahuan rakyat Sabah akan terungkai bermula 2 petang ini.

Selain Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), turut dijadual hadir ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Hajii Noor dan barisan pemimpin parti gabungan.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 12:49 PM