DATUK Saifuddin Abdullah menyapa Joni Bol yang mengunggang motosikal yang dihiasi dengan Jalur Gemilang dan bendera Sarawak di Sibu, hari ini. FOTO Mohd Roji Kawi
DATUK Saifuddin Abdullah menyapa Joni Bol yang mengunggang motosikal yang dihiasi dengan Jalur Gemilang dan bendera Sarawak di Sibu, hari ini. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi


Sibu: "Biar nampak serabut, namun saya bangga menghias motosikal dengan bendera negara dan negeri," kata Juni Bol, 60.

Juni yang berasal dari Kampung Telian, Mukah berkata, kerana bangga terhadap negara, dia memasang Jalur Gemilang pada motosikalnya setiap kali sambutan Bulan Kebangsaan sejak 10 tahun lalu.

"Ini cara saya menyatakan penghormatan saya terhadap negara ini dan saya bangga melakukannya.

"Lebih membanggakan apabila hari ini, tanpa disangka tiba-tiba Menteri (Menteri Komunikasi dan Multimedia) , Datuk Saifuddin Abdullah menyapa saya. Tambahan pula hari ini kita meraikan Hari Malaysia," katanya.

Juni yang bertugas sebagai pengawal keselamatan kebetulan menunggang motosikalnya yang dihiasi lebih 20 Jalur Gemilang dan bendera Sarawak melalui kawasan itu ketika Saifuddin mengadakan tinjauan mesra 'Info On Wheels Khas' di Gerai Pit Stop, Bandong Walk di sini, hari ini.

Katanya lagi, dia akan terus memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan dengan cara tersendiri dan berharap akan lebih ramai melakukannya.

Sementara itu, Saifuddin meluangkan masa bersarapan di gerai berkenaan bersama pemimpin masyarakat Sibu, Temenggong Datuk Wan Hamid Edruce serta pengunjung yang lain.

Beliau turut mengedarkan Jalur Gemilang kepada pengguna kenderaan yang melalui kawasan itu.

Kehadiran Saifuddin di lokasi tumpuan ramai di Sibu itu turut disambut lebih 100 penunggang basikal yang disertai pengayuh solo, Joni Mohd Daus.

Joni menarik perhatian ramai apabila mengambil inisiatif sendiri mengayuh basikal secara solo hampir 1,000 kilometer dari Kuching ke Miri sempena Bulan Kemerdekaan sejak pertengahan Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 12:31 PM