TUAN Ibrahim Tuan Man. FOTO arkib NSTP
TUAN Ibrahim Tuan Man. FOTO arkib NSTP
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: PAS menyatakan keyakinan mereka yang mengundi parti berkenaan sebelum ini akan memilih calon Gabungan Rakyat Sabah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ahli PAS seluruh Sabah menyatakan sokongan kepada gabungan tersebut.

"Malam ini kami menghimpunkan lebih kurang 500 petugas seluruh Sabah, menyatakan komitmen kami dari seluruh jentera PAS menyatakan sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah.

"Oleh itu, dengan sokongan ini kita yakin pengundi yang telah beri undi pada PAS sebelum ini di seluruh Sabah akan memberikan undi mereka kepada calon yang mewakili blok dalam gabungan terbabit.

"Petugas parti selain daripada Sabah juga turun ke sini turut membantu dalam menggerakkan jentera bagi memastikan kemenangan Gabungan Rakyat Sabah," katanya salam sidang media program Himpunan Perdana Jentera Pilihanraya PAS Sabah di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pemuda PAS Malaysia Kharil Nizam Khirudin, Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling dan Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan.

Selain itu, beliau turut menjelaskan tidak timbul isu kecewa berikutan PAS tidak meletakkan calon dalam PRN Sabah kali ini.

"Soal kecewa itu tak timbul dan kita telah pun jelaskan dalam kenyataan kita sebelum ini malah kita melihat kepada suatu aspek yang lebih besar.

"Kita yakin di sebalik kesabaran ahli parti, petugas kita, ada kejayaan besar sama ada dalam konteks muafakat ataupun dalam jangka masa panjang politik Sabah," katanya.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 11:34 AM