Maiamalina Mohamed Amin


Kuala Lumpur: Penduduk Sabah diingatkan supaya lebih berhati-hati dan berdisiplin mengamalkan norma baharu kehidupan, berikutan peningkatan kes Covid-19 ketara, khususnya di Tawau dan Lahad Datu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ingatan itu sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 September ini.

"Kepada petugas pilihan raya, pastikan semua aktiviti kempen dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"(Juga) Nasihat saya elakkanlah sebarang perkumpulan di tempat yang sesak dan sempit. Elakkan bersalaman dengan pengundi," katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri, Situasi Semasa Covid-19, hari ini.

Beliau berkata, konsep biasa pilihan raya sebelum ini tidak boleh lagi diamalkan, sebaliknya semua pihak perlu akur untuk menerima norma baharu kehidupan.

"Saya fikir pengundi pun faham kalau mereka yang turun berkempen tidak menghulurkan tangan untuk bersalaman.

"Yang penting kita saling melindungi antara satu sama lain supaya tidak terkena jangkitan Covid-19. Kita jaga kita bah," katanya.

MUHYIDDIN menghadiri sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen. FOTO Asyraf Hamzah
MUHYIDDIN menghadiri sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen. FOTO Asyraf Hamzah

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 8:59 PM