Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan. FOTO MOHD AMIN JALIL
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


Seremban: "Penduduk di daerah Port Dickson tidak perlu bimbang dengan risiko jangkitan Covid-19 daripada Kluster Bunga membabitkan anak kapal yang berlabuh berikutan mereka masih ditahan di atas kapal," ujar Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan.

Menurutnya, seramai 59 individu dan anak kapal yang berlabuh di Port Dickson, di sini, terutama membabitkan Kluster Bunga sudah disaring setakat 12 tengahari semalam.

Beliau berkata, terdapat empat kes baharu Covid-19 dilaporkan dalam kluster berkenaan melalui persampelan kedua membabitkan sejumlah 22 anak kapal yang masih berada di atas kapal yang berlabuh di Port Dickson.

Katanya, ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 dalam kluster Bunga setakat ini adalah 10 kes.

"Setakat ini seramai 59 individu termasuk anak kapal sudah disaring. Bagaimanapun kesemua anak kapal terbabit di kuarantin di dalam kapal berkenaan.

"Justeru itu, penduduk terutamanya di daerah Port Dickson tidak perlu panik.

"Apa yang perlu dilakukan ialah orang ramai terutama penduduk daerah berkenaan perlu meneruskan kebiasaan baharu iaitu memakai pelitup muka, membuat penjarakan fizikal dan juga sentiasa membasuh tangan atau menggunakan sanitasi tangan, sebagai langkah pencegahan Covid-19," katanya tadi.

Mengulas lanjut, Veerapan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah berkata, berikutan pertambahan empat kes baharu daripada Kluster Bunga, jumlah kumulatif kes di negeri ini meningkat kepada 1,043, sehingga kelmarin.

"Daripada jumlah itu, lapan kes masih dirawat, 1,027 kes sembuh dan lapan kematian direkodkan akibat Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 8:09 PM