MENTERI Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Bernama
MENTERI Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Bernama
Sophia Ahmad


Kuala Lumpur: Kerajaan masih tidak membuat sebarang perancangan untuk membenarkan kelab malam dan pusat hiburan kembali beroperasi buat masa ini.

Menegaskan perkara itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu masih tidak diputuskan dan premis terbabit seumpamanya tersenarai di bawah larangan kerajaan.

"Kalau kita lihat, tangkapan kerana operasi kelab malam dan pub berlaku hampir setiap hari kerana premis seumpama itu masih tersenarai sebagai satu larangan.

"Arahan kita jelas, tak boleh buka langsung. Ada hari-hari yang kadang-kala menyaksikan beratus tangkapan dibuat kerana aktiviti seumpama ini," katanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah diberi arahan untuk menarik semula lesen premis terbabit, sekali gus menghentikan operasi mereka untuk selamanya jika masih berdegil.

"Kita memang tak benarkan kelab malam beroperasi kerana sukar melaksanakan peraturan penjarakan fizikal. Bagaimana mahu kawal peraturan itu di dalam kelab," katanya.

Semalam, 763 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk 608 daripadanya membabitkan aktiviti dalam pub atau kelab malam.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 6:49 PM