Dr Radzi Jidin (tengah) ketika hadir pada Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Pendidikan Daerah Kudat di SMK Kudat II. FOTO MALAI ROSMAH TUAH.
Dr Radzi Jidin (tengah) ketika hadir pada Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Pendidikan Daerah Kudat di SMK Kudat II. FOTO MALAI ROSMAH TUAH.
Yun Mikail


Kudat: Warga pendidik dan kakitangan sekolah di Sabah diingatkan supaya memastikan prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan dengan baik sebagai usaha membendung penularan Covid-19 berikutan peningkatan kes baharu di negeri itu.

Menteri Kanan (Kluster Pendidikan), Dr Radzi Jidin berkata, ia penting bagi memastikan tiada penutupan semula sekolah akibat penularan wabak itu, selain memastikan keselamatan murid dan pelajar.

Tambahan pula, beliau berkata, sekiranya ada kes Covid-19 dikesan berlaku di sesuatu kawasan, proses bagi menutup dan membuka kembali sekolah cukup rumit.

Ini kerana, katanya, jika berlaku sebarang kes Covid-19, pihaknya perlu berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di peringkat pengurusan bencana negeri untuk melihat sama ada wujud keperluan penutupan sekolah atau tidak.

"Sebelum ini, kita sudah melaksanakan penutupan membabitkan lebih 200 sekolah di Kuching, Sarawak, kini saya turut dimaklumkan lebih 50,000 pelajar berada di rumah (menjalani sesi pembelajaran secara dalam talian) di daerah Kota Setar.

"Ini adalah kaedah yang kita gunakan bagi membendung wabak berkenaan namun dalam masa sama, kita mesti mempertahankan sekolah yang tidak terjejas agar terus dibuka dalam keadaan selamat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Pendidikan Daerah Kudat, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Pendidikan Sabah, Dr Mistirine Radin.

Terdahulu, Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi menerusi kenyataan hari ini memaklumkan penularan Covid-19 di Sabah ketika ini berada pada tahap membimbangkan.

Tawau dan Lahad Datu kini dikategorikan sebagai zon merah berikutan ada kes warga emas disahkan positif wabak itu selepas mendapatkan pemeriksaan di sebuah klinik.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 6:36 PM