Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Pas Kelantan masih mengekalkan status quo kerusi miliknya di negeri itu, kata Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Beliau berkata, keputusan itu kekal hingga perbincangan pengagihan kerusi selesai sepenuhnya.

"Setakat ini perbincangan dan rundingan sedang dilakukan," katanya dalam sidang media selepas Majlis Solat Hajat Pemindahan Bersejarah Masjid Kampung Laut ke lokasi asalnya di Kampung Laut, Tumpat, di Nilam Puri di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Dalam Muktamar Tahunan Pas Ke-66 semalam, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, isu pengagihan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dalam kalangan parti Perikatan Nasional (PN) sudah banyak diselesaikan.

Beliau dilaporkan berkata, soal pengagihan kerusi sedang dibincangkan dan setakat ini sudah banyak yang selesai.

AHMAD (dua kanan) di Majlis Solat Hajat Pemindahan Bersejarah Masjid Kampung Laut ke lokasi asalnya di Kampung Laut, Tumpat, di Nilam Puri. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
AHMAD (dua kanan) di Majlis Solat Hajat Pemindahan Bersejarah Masjid Kampung Laut ke lokasi asalnya di Kampung Laut, Tumpat, di Nilam Puri. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 5:35 PM