BENDERA parti menghiasi jalan di sepanjang Kota Kinabalu sempena PRN Sabah 2020. FOTO Aswadi Alias
BENDERA parti menghiasi jalan di sepanjang Kota Kinabalu sempena PRN Sabah 2020. FOTO Aswadi Alias
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Polis Sabah meluluskan sebanyak 257 permit ceramah parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16.

Kelulusan berkenaan diberikan hasil daripada 264 permohonan yang diterima sepanjang tempoh berkempen yang dibenarkan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Asisten Komisioner Tan Boon Sing berkata, tujuh permit ceramah ditolak selepas lima daripadanya tidak diisi lengkap manakala dua lagi ditarik balik oleh pemohon sendiri.

Katanya, sepanjang tempoh sama, polis turut menerima tujuh laporan polis berkaitan salah laku dalam PRN Sabah kali ini.

"Setakat ini, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

"Selebihnya pula adalah berkaitan pemantauan yang dibuat ketika PRN Sabah dan tiada kes kesalahan yang direkodkan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Tan berkata, semua penyokong dan calon parti dinasihatkan supaya hadir di tempat ceramah atau perhimpunan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Antara SOP yang perlu dipatuhi ialah mengekalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka serta penganjur perlu mencatatkan kehadiran dan suhu badan individu yang hadir serta menyediakan cecair pembasmi kuman.

"Selain itu, calon atau penganjur hendaklah memohon permit ceramah daripada Ketua Polis Daerah di kawasan tempat ceramah diadakan," katanya.

Tambah beliau lagi, calon, ejen dan penyokong diingatkan bahawa PRN kali ini diadakan ketika Perintah Sekatan mengikut Akta Kawalan Penyakit Berjangkit Dan Peraturan-Peraturan yang berkaitan dengannya.

"Oleh itu, adalah dinasihatkan semua mengikut SOP yang dikeluarkan untuk mengelak ditangkap atau dikenakan kompaun," katanya.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 4:27 PM