Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Gombak: Tragedi rumah runtuh di Jalan Berlian 8, Kampung Wira Damai di sini, semalam dipercayai akibat struktur dinding yang tidak stabil dan reput.

Kejadian pada 4.30 petang itu menyebabkan Nurfatin Syafinaz Rohman, 27, dan bayi lelakinya berusia dua bulan cedera dan dirawat di Hospital Selayang.

Ketua Kampung Wira Damai, Saifuddin Harun berkata, Nurfatin Syafinaz cedera di belakang badan dan anaknya di dada, namun kedua-duanya stabil.

"Insiden berlaku dipercayai kerana struktur rumah sudah tidak stabil. Rumah itu didirikan pada 1985 atas geran milik persendirian," katanya ketika ditemui di kediaman itu, hari ini.

SHAIFUDDIN menunjukkan dinding rumah yang runtuh di Kampung Wira Damai, semalam. FOTO Mahzir Mat Isa.
SHAIFUDDIN menunjukkan dinding rumah yang runtuh di Kampung Wira Damai, semalam. FOTO Mahzir Mat Isa.

Menurut Saifuddin, ia insiden pertama berlaku di kampung berkenaan yang mempunyai kira-kira 4,000 penduduk.

"Sebelum ini tragedi yang berlaku hanyalah kebakaran. Saya menasihati penduduk supaya memeriksa struktur rumah mereka terutama yang sudah lama," katanya yang memberitahu kerajaan negeri Selangor memberi jaminan untuk membantu kos baik pulih rumah berkenaan.

Dalam pada itu, ibu Nurfatin Syafinaz, Faizah Mohd Hussin, 68, berkata, ketika kejadian dia berada di luar rumah untuk memetik mangga, sebelum mendengar bunyi dentuman kuat.

Katanya, dia bergegas masuk ke dalam rumah dan mendapati anak serta cucunya berada di bawah runtuhan dinding dan tidak sedarkan diri.

"Sebelum itu saya berbual dengan anak, dan dia kemudiannya masuk ke dalam bilik untuk menyusukan anaknya manakala, saya pula keluar memetik mangga," katanya.

RUMAH runtuh yang menyebabkan dua beranak cedera. FOTO Mahzir Mat Isa.
RUMAH runtuh yang menyebabkan dua beranak cedera. FOTO Mahzir Mat Isa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 2:48 PM