PUSAT hiburan di Tropicana Damansara yang diserbu polis. FOTO ihsan polis
PUSAT hiburan di Tropicana Damansara yang diserbu polis. FOTO ihsan polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Petaling Jaya: Sebuah pusat hiburan di Tropicana Damansara, di sini, didapati sengaja beroperasi walaupun mengetahui larangan kerajaan.

Malah pengunjung di pusat hiburan terbabit juga sanggup bersesak dan tidak melakukan penjarakan fizikal serta mengendahkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, semua 282 pengunjung premis berkenaan dikenakan tindakan kompaun kerana tidak menjaga penjarakan sosial ketika pemeriksaan dilakukan.

"Polis turut mengeluarkan kompaun kepada pemilik premis kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

"Selain itu polis turut menahan dua warga asing berusia 20 tahun kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati premis berkenaan mempunyai lesen beroperasi yang sah.

"Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya akan terus memantau dan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang tidak mematuhi peraturan sepanjang PKPP dilaksanakan," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2020 @ 2:35 PM