GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Shahrinnahar Latib


Kuantan: Seorang peniaga di Karak, dekat sini kerugian RM126,359 selepas diperdaya sindiket pelaburan yang tidak wujud yang diiklankan sebuah laman web, Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 48 tahun yang ternampak iklan berkenaan menghantar mesej melalui aplikasi Whatsapp kepada satu nombor telefon yang diletakkan di laman web berkenaan.

"Mangsa berhubung dengan seorang individu dan suspek memberitahu menerusi pelaburan itu peniaga berkenaan boleh mendapat pulangan berlipat kali ganda.

"Lelaki itu kemudian memasukkan wang RM1,000 untuk pembelian 'coin' ke atas akaun syarikat untuk memenangi wang tunai RM500," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari.

Beliau berkata, selepas mendapat pulangan, mangsa percaya dan membuat pelaburan lebih besar dengan memasukkan wang sebanyak RM37,329 ke dalam akaun yang diberikan.

"Mangsa juga memasukkan wang sebanyak RM37,950 ke dalam akaun lain dan yang terakhir sebanyak RM50,980 ke dalam akaun sama.

"Selepas itu, dia diminta memasukkan RM60,000 lagi, tetapi pengadu rasa ditipu dan tidak mengikuti arahan suspek," katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Maran, kelmarin dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Polis masih mengesan pemilik akaun bank dan nombor telefon yang digunakan individu terbabit dalam kes itu bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2020 @ 12:40 PM