SALLEH Said Keruak. FOTO arkib NSTP
SALLEH Said Keruak. FOTO arkib NSTP
Suzanna Maidan


Kota Belud: Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak berharap mampu mengekalkan kemenangan Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan kerana ia adalah kerusi tradisi parti itu sejak dulu.

Salleh, 63, yang menyandang kerusi berkenaan selama beberapa penggal sebelum berpindah ke Parlimen Kota Belud berkata, beliau dan jenteranya akan mengadakan kempen secara matang termasuk menerangkan hala tuju kepada rakyat di DUN berkenaan.

"Ini kerana kita mahu membuat satu perubahan daripada segi pucuk pemerintah di Sabah agar BN dapat mengambil alih seterusnya bekerjasama sepenuhnya dengan kerajaan Persekutuan.

"Ini kerana kita di Sabah sejak merdeka telah mengamalkan politik pembangunan bagi menentukan rakyat dibela sekali gus tidak terpinggir daripada arus pembanguban," katanya ketika ditemui selepas penamaan calon DUN Usukan di Dewan Tun Said di sini hari ini.

Bagi kerusi DUN Usukan, Salleh menghadapi pertembungan tiga penjuru dengan dua lagi calon iaitu Abdul Bakrin Mohd Yusof daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan Datu Mohd Nazaruddin Datu Tigabelas (Parti Cinta Sabah- PCS).

Salleh yangmenjadi ketua menteri Sabah kesembilan dari Disember 1994 hingga Mei 1996, menyerahkan borang pencalonan pada 9 pagi tadi.

Beliau bertanding di kerusi Parlimen Kota Belud pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018 tetapi tewas kepada calon daripada WARISAN, Isnaraissah Munirah Majilis.

Mengulas lanjut Salleh yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia turut merakamkan terima kasih kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang memberi peluang kepadanya untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.

Sementara itu, calon WARISAN di DUN Usukan, Mohd Bakrin, 61, berkata, beliau dan jenteranya sudah bersedia pada pilihan raya ini.

"Saya yakin peluang kita cerah," katanya yang juga bekas Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud sebelum bersara awal pada 2017.

Ini adalah kali kedua beliau bertanding di DUN itu selepas PRU14, yang menyaksikan calon daripada BN, Datuk Japlin Akim memenangi kerusi berkenaan.

Japlin yang juga penyandang DUN Usukan atas tiket BN-UMNO, kemudian menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Februari tahun lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 26 September ini sebagai tarikh PRN Sabah dan pengundian awal pada 22 September ini.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2020 @ 2:18 PM