Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kota Kinabalu: Tepat jam 9 pagi ini, 64 pusat penamaan calon bagi 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dibuka untuk pencalonan.

Tinjauan di beberapa pusat penamaan calon sekitar Kota Kinabalu mendapati suasana lebih tenang berbanding kebiasaan ketika penamaan calon berlangsung.

Tiada lagi perarakan dan perhimpunan penyokong parti bertanding ekoran prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Calon, penyokong dan pencadang diminta untuk mengambil suhu badan sebelum dibenarkan masuk ke dewan pencalonan.

Anggota polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) juga menjalankan pemantauan bagi memastikan kelancaran trafik dan proses penamaan.

Penamaan calon dibuka sehingga 10 pagi ini bagi parti dan calon bebas mendaftar bagi merebut kerusi dalam DUN Sabah.

PRN Sabah ke-16 berlangsung selepas DUN Sabah dibubarkan pada 30 Julai lalu rentetan berlakunya konflik politik.

KELIHATAN calon dari parti LDP, Datuk Ibrahim Mohd Laiman Diki (dari kiri) tiba pada hari penamaan calon di dewan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kota Kinabalu. FOTO Aswadi Alias
KELIHATAN calon dari parti LDP, Datuk Ibrahim Mohd Laiman Diki (dari kiri) tiba pada hari penamaan calon di dewan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kota Kinabalu. FOTO Aswadi Alias

Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 25 September ini.

Pengundian awal dijalankan 22 September, manakala hari pengundian berlangsung 26 September ini.

Sebanyak 64 pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi akan digunakan, manakala 741 pusat mengundi membabitkan 2,540 tempat mengundi (saluran) dan 56 pusat mengundi awal.


Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2020 @ 9:50 AM