GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Seramai 24 individu ditahan polis dipercayai aktif melakukan penipuan pelaburan urus niaga penukaran mata wang asing atau forex dalam serbuan di sebuah premis di Donggongon Avenue, di sini, hari ini.

Dalam serbuan jam 3.30 petang itu, semua individu membabitkan 17 lelaki dan tujuh wanita terdiri daripada 21 warga tempatan dan tiga warga China berusia 19 hingga 33 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, Superintendan G Moses Govindarajoo berkata, turut berjaya dirampas, 18 komputer riba, tiga komputer, 184 telefon pintar, 19 buku nota dan 31 keping kad sim.

"Selain itu, polis turut merampas lima keping kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) pelbagai bank, 28 kerusi dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard.

"Semua tangkapan direman sehingga 14 September depan untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Moses berkata, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebat dan denda.

Katanya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana membabitkan tiga tangkapan warga China yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2020 @ 5:04 PM