Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Lebih 400 anggota polis membabitkan pelbagai jabatan di Bukit Aman akan dihantar untuk penugasan sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bagi membantu kelancaran perjalanan pilihan raya itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihak polis sudah bersiap siaga dan prosedur operasi standard (SOP) juga sudah dibentangkan kepada polis Sabah untuk dipatuhi.

"Sebahagian anggota pasukan sudah diterbangkan oleh Unit Udara PDRM ke sana (Sabah) khususnya pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan KDNKA (Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian sijil pengiktirafan kepada Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) PDRM oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), di sini, hari ini.

ABDUL Hamid (tengah) ketika sidang media selepas majlis penyampaian sijil pengiktirafan kepada Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) PDRM oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Ipoh. FOTO Balqis Jazimah Zahari
ABDUL Hamid (tengah) ketika sidang media selepas majlis penyampaian sijil pengiktirafan kepada Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) PDRM oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Ipoh. FOTO Balqis Jazimah Zahari

Abdul Hamid berkata, kekuatan anggota polis sedia ada di Sabah mencukupi untuk menjaga keselamatan am sempena PRN di Sabah.

"Hanya sedikit sahaja anggota kita bawa dari Sarawak atau Semenanjung bagi untuk membantu kelancaran perjalanan PRN di sana.

"Ini kerana kita yakin anggota polis sedia ada di sana terdiri daripada Pasukan Gerakan Am (PGA), pasukan marin memadai dan mampu untuk mengawal keadaan sepanjang PRN Sabah," katanya.

Sebanyak 73 kerusi DUN Sabah akan dipertandingkan pada PRN Sabah dengan penamaan calon ditetapkan, esok manakala hari mengundi awal pada 22 September ini.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2020 @ 4:30 PM