Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Tujuh sekatan jalan raya (SJR) mula dilaksanakan di sekitar daerah ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) bermula 12.01 tengah malam tadi.

SJR terbabit diadakan termasuklah di hadapan Restoran Haji Ramli di Simpang Empat, Jalan Batas Paip di Kuala Kedah, Tol Alor Setar Utara dan Tol Alor Setar Selatan, hadapan Balai Polis Kepala Batas dan Jalan Hutan Kampung.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, tiga daripada SJR terbabit ditutup dan diletakkan 'road barrier' untuk menghalang orang ramai keluar masuk ke kawasan itu tanpa sebarang urusan.

Menurutnya, antaranya jalan masuk dari Jitra ke Alor Setar di Kepala Batas selain laluan masuk ke Plaza Tol Alor Setar utara dan laluan keluar ke Plaza Tol Alor Setar selatan yang ditutup.

"Dalam PKPD ini, seramai 350 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terbabit dalam penugasan di sini.

"Selain itu, kita akan minta bantuan logistik dari balai polis berhampiran selain dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah untuk membantu dalam PKPD ini, " katanya ketika sidang media di Balai Polis Kepala Batas di sini, malam tadi.

Menurutnya, 21 pasukan pemantau akan melakukan pemantauan termasuk di laluan tikus di sekitar kawasan kampung bagi mengelak penduduk cuba lari ke daerah lain.

Beliau berkata, sekiranya ada urusan keluar masuk ke daerah sempadan, orang ramai perlu mengemukakan surat kebenaran untuk tujuan itu.

"Setakat ini perkhidmatan pengangkutan awam masih beroperasi seperti biasa termasuk kereta api, kapal terbang dan bas ekspres.

"Selain itu, sebarang bentuk majlis perkahwinan, bersukan, beriadah, keramaian tidak dibenarkan ketika PKPD ini berlangsung," katanya.

Mohd Redzuan berkata, sekiranya ada individu yang didapati ingkar atau melanggar syarat PKPD ini boleh dikompaun atau tangkapan dilakukan.

Menurutnya, perkhidmatan menghantar makanan dari rumah ke rumah (COD) juga perlu mendapat surat kebenaran polis.

"Selain itu, penduduk Kota Setar di kawasan Temco ini yang bekerja di luar daerah pula digalakkan melakukan kerja di rumah.

"Semuanya penting bagi mengelak penularan Covid-19 merebak ke kawasan lain dan kita berharap penduduk di kawasan Temco mematuhi syarat yang ditetapkan," katanya.

GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2020 @ 8:48 AM