Mas Ermieyati Shamsudin (kiri) menunjukkan produk usahawan industri kecil dan sederhana selepas menghadiri Seminar Asas Keusahawananan, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) di Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah. FOTO BERNAMA
Mas Ermieyati Shamsudin (kiri) menunjukkan produk usahawan industri kecil dan sederhana selepas menghadiri Seminar Asas Keusahawananan, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) di Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Alor Gajah: Lebih 4,000 peserta dari seluruh negara menyertai 130 program latihan, khususnya berkaitan kursus asas keusahawanan di Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) secara dalam talian.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Shamsudin berkata, ia berikutan lebih ramai rakyat di negara ini berminat dan memilih untuk menceburi bidang keusahawan sebagai alternatif bagi menjana sumber pendapatan selepas kehilangan pekerjaan.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 20 hingga 30 peratus adalah dalam kalangan usahawan baharu.

"Selepas diberhentikan kerja, ada yang mengambil keputusan untuk mengusahakan perniagaan sendiri seperti makanan, pertanian, serta pakaian secara kecil-kecilan.

"Justeru, kita menyarankan mereka yang baharu memulakan perniagaan supaya menyertai program-program latihan asas keusahawan untuk menjadi panduan kepada usahawan dalam mendepani cabaran ketika tempoh pemulihan ekonomi yang terjejas akibat Covid-19," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Asas Keusahawananan INSKEN di Kuala Sungai Baru, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Insken, Muhd Firdaus Azharuddin.

Mas Ermieyati berkata, program latihan ditawarkan itu bukan sahaja dapat membimbing peserta untuk mencapai matlamat, malah perkongsian dengan usahawan berjaya yang dibawa khas dalam sesi berkenaan juga mampu menjadi motivasi untuk bangkit, seterusnya bertahan dalam bidang berkenaan.

Dalam pada itu, beliau turut mengesa semua usahawan memanfaatkan insentif yang disediakan kerajaan melalui pelbagai pembiayaan kepada mereka terjejas akibat Covid-19 menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

"Pembiayaan di bawah agensi-agensi seperti Tekun Nasional, SME Corp Malaysia, Bank Rakyat dan koperasi ini ditampilkan dalam usaha membantu menyuntik modal kepada para usahawan untuk bangkit semula dalam menjana pendapatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 4:44 PM