MAJLIS Penyerahan Kenderaan Peronda Baharu Kontijen Sarawak. FOTO Nadim Bokhari
MAJLIS Penyerahan Kenderaan Peronda Baharu Kontijen Sarawak. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi


Kuching: Polis Sarawak menghantar lebih 100 anggotanya bagi membantu kelancaran proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, turut dihantar ke negeri di bawah bayu itu, sejumlah aset polis negeri ini bagi memudahkan penugasan anggota.

Beliau berkata, sebahagian besar anggota yang dihantar itu adalah daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik manakala selebihnya anggota tugas am.

"Ada anggota yang membawa kenderaan polis sudah dalam perjalanan ke Sabah dan mereka akan berada di sana sepanjang tempoh berkempen sehingga proses pilihan raya selesai sepenuhnya.

"Kebanyakan anggota yang dihantar ke sana akan bertugas membantu mengawal ketenteraman awam," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Peronda Baru Kontinjen Sarawak di sini, hari ini.

Sebanyak 27 kereta peronda jenis Honda Civic diserahkan kepada sembilan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) serta Unit Polis Pelancong.

Aidi berkata, penghantaran lebih 100 anggota itu tidak menjejaskan kawalan keselamatan negeri ini kerana jumlah anggota di setiap IPD dan balai mencukupi.

"Kawalan keselamatan sempadan juga tidak terjejas kerana kami tidak menghantar anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) ke Sabah," katanya.

Hujung bulan lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, polis Sabah akan menentukan bilangan anggota bertugas yang diperlukan pada proses PRN negeri itu dan tambahan anggota dari kontinjen terdekat iaitu Sarawak akan dilakukan jika keadaan memerlukan.

Hari penamaan calon bagi PRN Sabah ditetapkan pada 12 September ini manakala hari mengundi awal ditetapkan pada 22 September dan kemuncak hari pengundian pada 26 September.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 1:27 PM