GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Lelaki warga Nepal ditemui mati tergantung pada dahan sebatang pokok berhampiran sebuah padang permainan di Perai, di sini, pagi hari ini.

Dalam kejadian 7 pagi itu, mayat mangsa berusia 25 tahun itu ditemui orang awam sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad berkata, pemeriksaan yang dijalankan mendapati mangsa maut selepas lehernya terjerut dengan tali nilon yang diikat pada dahan pokok berkenaan.

"Siasatan lanjut pada anggota badan mangsa tidak menemui sebarang kecederaan dan tiada juga tanda-tanda berlakunya perbuatan jenayah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Shafee berkata, temu bual dijalankan ke atas rakan senegara mangsa memaklumkan mangsa seorang pemabuk.

"Ini kerana dia sering menghabiskan gajinya untuk membeli arak dan kerap mabuk.

"Kali terakhir rakannya dan mangsa bertemu pada 11.30 malam tadi," katanya.

Katanya, mangsa bekerja sebagai operator di sebuah kilang di sini sejak lima tahun lalu.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 7:41 PM