DR SYED Hussian Aljunid pada Kunjungan Rasmi Pengurusan Tertinggi Media Prima Berhad ke pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN
DR SYED Hussian Aljunid pada Kunjungan Rasmi Pengurusan Tertinggi Media Prima Berhad ke pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN
Amir Mamat

Melaka: Media Prima Berhad (MPB) menyambut baik cadangan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam untuk menjadi pelopor kepada usaha membudayakan penggunaan teknologi tinggi dalam kalangan rakyat negara ini.

Pengerusi MPB Datuk Syed Hussian Aljunid berkata, cadangan yang dilontarkan bekas Ketua Menteri Melaka itu sangat baik kerana beliau adalah seorang yang sentiasa ambil berat terhadap penggunaan teknologi maklumat (IT) dalam kalangan masyarakat di negara ini.

"Tun Mohd Ali turut mengemukakan beberapa lagi idea kepada kami dan Insya-Allah kami akan membawa segala yang dibincangkan itu ke mesyuarat pengurusan tertinggi MPB untuk dibincangkan dan diperhalusi.

"Bagi pihak MPB, saya berterima kasih kepada Tun Mohd Ali yang menerima kunjungan kami hari ini," katanya selepas mengetuai rombongan pengurusan tertinggi MPB mengadakan kunjungan hormat ke atas Mohd Ali di Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) di Kompleks Seri Negeri di sini, hari ini.

Pertemuan kira-kira sejam itu turut dihadiri Pengarah Urusan Kumpulan MPB Datuk Iskandar Mizal Mahmood.

Syed Hussian berkata, pihaknya turut mengucapkan tahniah kepada Mohd Ali yang bakal menyambut hari ke-100 pelantikannya sebagai Yang di-Pertua Negeri ke-7, Jumaat ini.

Menurutnya, sebagai pemimpin berpengalaman, Mohd Ali sudah pasti mempunyai pelbagai idea untuk membangunkan Melaka bersama-sama dengan kepemimpinan negeri diketuai Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

"Kami mengalu-alukan hasrat Tun Mohd Ali untuk mengadakan lawatan ke pejabat MPB di Sri Pentas, Bandar Utama dalam tempoh terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 7:10 PM