GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Amin Jalil


Seremban: Polis menahan tiga individu bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang meninggal dunia, 5 September lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, seorang lelaki dan dua wanita terbabit ditahan susulan laporan polis diterima pada 5 September lalu.

"Polis menerima laporan pada 5 September berhubung seorang kanak-kanak perempuan dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban oleh ibunya dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Pihak hospital berusaha untuk menyelamatkan kanak-kanak terbabit namun gagal dan mangsa meninggal dunia.

"Siasatan awal yang dijalankan mendapati ada beberapa kesan kecederaan terhadap si mati dan bedah siasat yang dijalankan tidak dapat menentukan punca kematian setakat ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Said berkata, semua individu terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 walaupun setakat ini kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Siasatan bertujuan memastikan sekiranya ada unsur penderaan ke atas kanak-kanak terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 1:09 PM