Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Tentera Darat Malaysia (TDM) akan memberikan kerjasama dan menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melaksanakan siasatan membabitkan insiden seorang anggota tentera meninggal dunia dipercayai terjun dari tingkat tiga sebuah bangunan di sebuah kem tentera.

Sel Perhubungan Raya Markas TDM dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, pihaknya sentiasa terbuka dan akan terus memberikan kerjasama serta bantuan kepada PDRM dalam membantu siasatan.

"Kita menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam melaksanakan siasatan dan memberi kerjasama penuh kepada polis dalam melancarkan siasatan.

"TDM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai dan anggota jika terbabit dengan sebarang perlakuan menyalahi undang-undang," katanya.

Menurutnya, pihaknya mengesahkan insiden membabitkan 1202648 Prebet Abdul Aziz Aznam dari pasukan Batalion Kesepuluh Rejimen Askar Melayu Diraja (10 RAMD), Kem Majidee, Batu Pahat, Johor.

"Allahyarham melapor ke Balai Pengawal 10 RAMD daripada tidak hadir tanpa cuti (THTC) pada jam 6 petang, 28 Ogos lalu dan seterusnya diletakkan dalam tangkapan longgar di Bilik Bujang Kompeni A sementara menunggu dokumentasi dan dibacakan pertuduhan oleh Pegawai Memerintah.

"Ketika ini pasukan sedang beroperasi di Sabah hingga Oktober depan," katanya.

Katanya, pada 28 Ogos lalu lebih kurang jam 11.50 malam, anggota didapati jatuh dari aras tiga bangunan bilik penginapan itu dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala seterusnya dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat, Johor untuk rawatan.

"Susulan daripada kejadian ini, pasukan 10 RAMD membuat laporan polis pada 29 Ogos jam 9.53 pagi di Balai Polis Batu Pahat (BT PAHAT/01474420) manakala pihak keluarga anggota turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Ipoh, Perak atas dakwaan anggota didera pada 1 September lalu," katanya.

Katanya, pada 6 September lalu jam 2 petang, anggota disahkan meninggal dunia di HSNI, Batu Pahat, Johor dan hasil bedah siasat dilakukan pada 11.40 pagi, 7 September lalu doktor pakar dari Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru mendapati tiada kecederaan fizikal lain pada jenazah yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah dan penderaan.

"Susulan dengan keputusan ini, pakar forensik bedah siasat dan PDRM melawat lokasi kejadian di 10 RAMD pada 7 September lalu, jam 4.30 petang untuk mengesahkan laporan bedah siasat adalah konsisten dengan situasi tempat kejadian.

Berita berkaitan

'Polis beri jaminan siasatan menyeluruh kematian anggota ATM'

'Kami mahu keadilan buat arwah adik'

Polis siasat dakwaan anggota tentera maut dipercayai didera

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 6:39 PM