BAYI berkenaan. FOTO Ahmad Ismail
BAYI berkenaan. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail.


Tangkak: Bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh kurang 24 jam ditemui di Kampung Solok, petang semalam.

Bayi yang masih bertali pusat seberat 2.6 kilogram itu ditemui di dalam plastik berwarna oren di dalam longkang di Jalan Kebun, Kampung Solok, di sini.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd Fadhil Minhat berkata, anggota bertugas di Balai Polis Tangkak menerima panggilan daripada lelaki memberitahu penemuan bayi itu pada 6.18 petang.

"Lelaki itu mendakwa anaknya yang baharu pulang mengaji terdengar tangisan bayi dalam longkang kira-kira 50 meter berhampiran kediamannya.

"Lelaki itu kemudiannya membalut bayi itu dengan sehelai kain.

"Pemeriksaan yang dijalankan kakitangan perubatan mendapati bayi yang tidak dikenali bangsa itu dalam keadaan sihat.

"Dia kemudiannya terus dibawa dengan ambulans ke Hospital Tangkak untuk pemeriksaan lanjut," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata, tiada sebarang dokumen atau barang milik bayi ditemui.

"Kes diklasifikasi mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan," katanya.

Mohd Fadhil berkata, mana-mana orang awam yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat di talian 016-5220525 @ Ibu Pejabat Polis Daerah Tangkak 06-97812222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 8:22 AM