MAYAT lelaki yang terjatuh dari tingkat empat Pangsapuri Sri Serdang, Kepala Batas. FOTO ihsan polis
MAYAT lelaki yang terjatuh dari tingkat empat Pangsapuri Sri Serdang, Kepala Batas. FOTO ihsan polis
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Kakitangan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) maut selepas terjatuh dari tingkat empat Pangsapuri Sri Serdang, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa berusia 31 tahun yang tinggal di tingkat empat pangsapuri berkenaan sebelum itu dikatakan berada dalam keadaan tidak ceria dan kurang berbual.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, saksi memaklumkan bahawa dia terserempak dengan mangsa ketika singgah menghantar makanan kepada isterinya.

"Saksi memberitahu dia terserempak dengan mangsa di lif dan mengajaknya naik sekali namun mangsa enggan.

"Kira-kira lima minit kemudian, saksi turun ke bawah dan terkejut melihat keadaan mangsa yang terlentang berlumuran darah lalu menghubungi talian kecemasan untuk tindakan lanjut," katanya, hari ini.

Beliau berkata, rakan saksi yang berada di dalam van juga terdengar dentuman kuat.

"Pada ketika itu, rakan saksi menunggu saksi di dalam van kerana mereka perlu bergegas ke tempat kerja namun saksi singgah sebentar untuk menghantar makanan kepada isterinya yang berada di tingkat empat.

"Bagaimanapun tiba-tiba rakan saksi terdengar bunyi dentuman kuat lalu keluar dari kenderaan bagi melihat apa yang berlaku sebelum terkejut melihat mangsa cedera parah dan sudah tidak bernyawa," katanya.

Noorzainy berkata, temubual ke atas rakan sekerja mangsa mendapati lelaki itu mendakwa sering diganggu kerana mempunyai saka hingga tidak boleh mengawal perasaan.

"Temubual yang dijalankan ke atas isteri mangsa pula memaklumkan bahawa suaminya itu menghidap penyakit asma.

"Mayat dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2020 @ 6:40 PM