DATUk Seri Aminuddin Harun, pada Persidangan Kedua (Khas Belanjawan Tambahan) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14 di Seremban.
DATUk Seri Aminuddin Harun, pada Persidangan Kedua (Khas Belanjawan Tambahan) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14 di Seremban.
Mohd Amin Jalil


SEREMBAN: Negeri Sembilan mencatatkan jumlah rizab kewangan yang kukuh dengan nilai sebanyak RM1.06 bilion tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia merangkumi rizab tunai berjumlah RM274.74 juta dan rizab pelaburan sebanyak RM783.48 juta.

Wakil PKR-Sikamat itu berkata, jumlah rizab kewangan kerajaan negeri dicatatkan sebanyak RM687.77 juta pada Disember 2018 sebelum meningkat kepada RM875.02 juta, tahun lalu.

"Berkat urus tadbir kewangan yang berintegriti dan berhemah, kerajaan negeri tidak mempunyai masalah untuk menyediakan peruntukan tambahan.

"Ini kerana rizab kewangan kerajaan negeri pada ketika ini sangat kukuh iaitu RM1.06 bilion.

"Manakala kutipan hasil pada tahun 2019 pula adalah sebanyak RM556.44 juta yang juga rekod tertinggi pernah dicapai dengan 'surplus' sebanyak RM147.47 juta," katanya pada Persidangan Kedua (Khas Belanjawan Tambahan) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-14, di sini, hari ini.

Aminuddin berkata, beliau menggariskan beberapa strategi dalam usaha memastikan hasil negeri kekal lestari dan berdaya tahan.

Beliau berkata, ia melalui pemerkasaan ekonomi secara penerokaan hasil baharu, perbelanjaan berhemah serta mengekang ketirisan hasil.

"Penyata kewangan tahun 2019 yang diaudit oleh Jabatan Audit Negara turut mencatatkan rekod 'surplus' kewangan berjumlah RM147.47 juta menjadikan rizab kewangan kerajaan negeri lebih kukuh.

"Jumlah 'surplus' yang tinggi itu adalah bukti keberkesanan daya usaha kerajaan negeri dalam merealisasikan tema Belanjawan 2020 iaitu 'Melestari Ekonomi, Mensejahtera Rakyat'," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2020 @ 8:14 PM