MOHD Solihan (Dua Kiri) melihat kawasan Frontier Industrial Park dalam lawatan kerja hari ini. FOTO Omar Ahmad
MOHD Solihan (Dua Kiri) melihat kawasan Frontier Industrial Park dalam lawatan kerja hari ini. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad


Pasir Gudang : Kerajaan negeri meluluskan peruntukan berjumlah RM44 juta bagi membina dan menaik taraf jalan di tiga lokasi termasuk di Pasir Gudang, Mersing dan Batu Pahat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri berkata, peruntukan itu untuk membina jalan penyambung (missing link) dan jalan baharu yang akan diperbesarkan serta dinaik taraf di Masai-Pasir Gudang.

Katanya, jalan penyambung sepanjang 820 meter bernilai RM25 juta akan menyambung keseluruhan lima kilometer jalan dari Kong-Kong, Masai ke Pasir Gudang.

"Dengan ada jalan yang lebih baik daripada dua lorong kepada empat lorong, ia akan meningkatkan pembangunan di kawasan ini terutama di Iskandar Halal Park.

"Sambungan 'missing link' itu akan dilaksanakan dalam masa singkat kerana kita sedang dalam proses untuk mereka bentuk.

"Di Iskandar Halal Park antara isu timbul adalah sambungan jalan yang kurang menarik terutama kepada pelabur," katanya pada sidang media selepas membuat lawatan di Iskandar Halal Park, Masai, di sini, hari ini.

Mohd Solihan berkata, kerajaan negeri turut meluluskan pembinaan jalan di Mersing iaitu Jalan Nitar-Sekakap dengan kos RM13 juta.

Katanya, satu lagi projek yang sudah diluluskan ialah memperbaiki persimpangan Jalan Tan Swee Hoe dan Jalan Parit Besar di Batu Pahat dengan kos bernilai RM6 juta

"Semua itu bagi memastikan kemudahan kepada rakyat, mengurangkan kesesakan dan mewujudkan peluang pembangunan ekonomi baru.

"Kerajaan negeri juga akan membantu Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) memohon pelaksanaan Kesalinghubungan Lingkaran Tengah Jalan Taman Impian Emas ke Taman Kota Masai.

"Kos jalan raya empat lorong dua hala sepanjang 15 kilometer itu dianggarkan bernilai RM200 juta. Diharap kerajaan persekutuan akan membantu memasukkan ia di bawah Rancangan Malaysia ke-12," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2020 @ 7:55 PM