GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Empat loji rawatan air terpaksa dihenti tugas pagi ini susulan pencemaran dikesan pada sumber air mentah di Sungai Selangor.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, Loji Rawatan Air Sungai (LRA) Rantau Panjang dihenti tugas, 7.15 pagi tadi.

"Sementara itu, pada 9 pagi pula, tiga lagi LRA yang dihenti tugas pagi ini adalah LRA Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3).

"Gangguan bekalan air tidak berjadual dijangka akan berlaku di beberapa kawasan di tujuh wilayah iaitu di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat bermula 10 pagi ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Elina berkata, senarai penuh kawasan yang terjejas akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan http://www.airselangor.com.

"Air Selangor bersama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sedang mengambil tindakan pantas bagi mengatasi insiden pencemaran ini dengan kadar segera.

"Semua pengguna dinasihatkan agar menggunakan air secara berhemat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2020 @ 11:23 AM