GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuliaty Zulkiffli


LELAKI memakai 'gelang putih' ditahan polis kerana keluar rumah tanpa tujuan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) di Zon Kenanga, Ambangan Height di Sungai Petani pagi hari ini.

Lelaki berusia 36 tahun itu dikesan menunggang motosikal seorang diri di hadapan Persiaran Amanjaya 5 pada 2.30 pagi dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, anggota polis kemudiannya menahan lelaki itu untuk pemeriksaan dan mendapatinya memakai gelang warna putih di tangan kiri yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, lelaki itu gagal memberi alasan munasabah dan tindakannya boleh membahayakan orang lain.

"Lelaki itu bekerja sebagai buruh kasar sudah berkahwin dan menetap di kawasan Zon Kenanga.

"Semakan mendapati lelaki itu keluar pada 31 Ogos pada 1.32 petang dan malam tadi baru mahu pulang ke rumah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adzli berkata, lelaki itu ditahan kerana melanggar perintah kuarantin oleh pihak KKM dan melanggar Akta Peraturan Peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan(PKPD) dan Peraturan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).

Beliau berkata, dia kemudian ditahan di Subtek Temco untuk tindakan selanjutnya.

"Kes disiasat Seksyen 22(b) Akta Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 dan Ssksyen 270 Kanun Keseksaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2020 @ 1:43 PM