MAT Rohim Hussin sudah 30 tahun berkhidmat di Unit Pemakanan dan Dietetik, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk menyediakan menu sihat kepada setiap pesakit.
MAT Rohim Hussin sudah 30 tahun berkhidmat di Unit Pemakanan dan Dietetik, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk menyediakan menu sihat kepada setiap pesakit.
Hazira Ahmad Zaidi


SEJAK 30 tahun lalu, Mat Rohim Hussin bukan figura asing di Unit Pemakanan dan Dietetik, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu, yang diberi tanggungjawab menyediakan makanan kepada pesakit di wad hospital berkenaan.

Rutin hariannya bermula seawal 6.30 pagi setiap hari untuk menyediakan pelbagai menu sihat kepada pesakit yang mendapat rawatan di HUSM mengikut jadual edaran ditetapkan.

Mat Rohim, 56, berkata diet betul amat penting bagi setiap pesakit untuk memenuhi keperluan nutrisi tubuh badan dan waktu pengagihan makanan kepada setiap pesakit di wad pula sebanyak empat sesi iaitu waktu pagi, tengah hari, minum petang dan makan malam.

"Pihak hospital akan menyediakan makanan untuk pelbagai jenis penyakit termasuk bekalan makanan formula khas bagi memastikan setiap pesakit mendapat bekalan nutrisi mencukupi mengikut keperluan mereka.

"Menu disajikan pihak hospital berlainan mengikut pusingan bertujuan memenuhi selera dan kepuasan setiap pesakit selain memastikan kualiti bahan mentah dan cara penyediaan makanan diselia dari semasa ke semasa," katanya.

Mat Rohim berkata, semasa memulakan kerja di Unit Pemakanan dan Dietetik HUSM pada 1990, dia hanya memasak menggunakan kawah untuk menyediakan makanan kepada pesakit sehinggalah 2005.

"Seiring dengan perkembangan teknologi di hospital selain bilangan pesakit ramai, sedikit demi sedikit peralatan di dapur ditukar serta ia menjimatkan masa dan pesakit di wad tidak perlu menunggu dalam tempoh lama.

"Walaupun saya pernah disambar api semasa menyalakan dapur untuk menyediakan makanan, ia tidak pernah mematahkan semangat untuk terus berbakti kepada pesakit memerlukan menu sihat sepanjang mereka mendapatkan rawatan di hospital.

"Malah, saya kerap menjadi rujukan kakitangan lain dalam menyediakan pelbagai menu sihat kepada pesakit," katanya.

Menurutnya, berpegang kepada prinsip 'bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu', dia menasihatkan rakan lain untuk terus komited dengan kerjaya selain dapat meningkatkan mutu serta hasil masakan lebih baik agar nama Unit Pemakanan dan Dietetik dan HUSM terus mendapat tempat di hati pesakit.

"Apa sahaja yang kita lakukan, biarlah ikhlas kerana air tangan kita sedikit sebanyak menyumbang kepada proses pemulihan pesakit dan kerja sebegini bukan semua orang boleh buat.

"Keikhlasan itu kita tidak nampak, tetapi ia akan kembali semula kepada kita dalam pelbagai bentuk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 2:43 PM