Michael Tay Chee Boon.
Michael Tay Chee Boon.
Omar Ahmad


IBU bapa disaran menasihati anak-anak yang menuntut di negara barat mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak menjadi sasaran perkauman ke atas keturunan Asia.

Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan, Michael Tay Chee Boon berkata, ini kerana terdapat gangguan berbentuk perkauman terhadap pelajar dari Asia susulan pandemik Covid-19.

Katanya, segelintir masyarakat di negara barat mempunyai persepsi buruk terhadap keturunan Asia disebabkan pandemik itu yang tercetus di China.

"Sekiranya mereka ada menerima atau terganggu secara fizikal, perlu ambil langkah berjaga-jaga membuat laporan polis.

"Jika pihak polis tidak ambil tindakan, disarankan melaporkan kejadian itu kepada pihak kedutaan.

"Walaupun setakat ini kita tidak mendengar pelajar dari Malaysia menjadi mangsa perkauman itu, namun adalah lebih baik ambil langkah berhati-hati," katanya.

Jelas Michael Tay, daripada beberapa video yang dilihat ada pelajar di negara barat yang mensasarkan pelajar dari China.

Pada Mac lalu media melaporkan, seorang pelajar warga Singapura dipukul sekumpulan rasis sehingga mukanya berlumuran darah, apabila salah seorang daripada kumpulan itu membuat komen mengenai Covid-19.

Mangsa, Jonathan Mok, 23 yang menyambung pelajaran di UCL London dua tahun lalu, ketika berjalan di Oxford Street bersama seorang wanita pada 24 Februari lalu dan diberitahu kumpulan berkenaan tidak mahu Covid-19 berada di negara mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2020 @ 4:58 PM