PROFESOR Madya Ainuddin Wahid Abdul Wahab.
PROFESOR Madya Ainuddin Wahid Abdul Wahab.
Redzuan Muharam


"SAYA tidak nampak ada motif kuat yang menunjukkan video itu disunting. Cuma, secara logiknya, banyak faktor mempengaruhi penghasilan bunyi atau suara dalam rakaman berkenaan, salah satunya adalah persekitaran," kata Ketua Unit Multimedia, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Ainuddin Wahid Abdul Wahab.

Ainuddin yang juga pakar digital forensik memberi reaksi itu ketika diminta mengulas mengenai rakaman video dimuat naik seorang wanita yang tular sejak semalam kerana kedengaran suara misteri seperti merayu dan meraung meminta tolong, didakwa datang daripada dalam kubur.

Menurut Ainuddin, peranti elektronik yang mempunyai fungsi merakam audio memang sensitif dan boleh menangkap bunyi dengan mudah.

Justeru, Ainuddin berkata, tidak mustahil adanya bunyi lain ketika sesuatu rakaman dilakukan dan salah satu sebab terhasilnya bunyi dalam rakaman yang tular itu adalah kerana kedudukan wanita berkenaan yang duduk di atas jengkaut.

"Jika diperhatikan, wanita itu duduk di atas jengkaut dan berdasarkan kenyataannya, angin bertiup kuat.

"Jadi, ada kemungkinan bunyi itu datang daripada angin yang bergesel dengan permukaan cermin atau besi pada kenderaan berkenaan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ainuddin berkata, kemungkinan lain menyebabkan terhasilnya bunyi berkenaan adalah kerana video itu dirakam di kawasan lapang.

"Video itu dirakam di kawasan tanah perkuburan yang luas dan lapang.

"Maka, banyak bunyi boleh terhasil termasuk gema suara jeritan atau sebagainya jika lokasi itu terletak berhampiran dengan kawasan perumahan," katanya.

Ainuddin berkata, analisa lanjut perlu dijalankan bagi mengetahui sumber bunyi berkenaan.

"Berdasarkan pengamatan saya, bunyi itu kemungkinan terhasil kerana faktor persekitaran dan tidak pasti jika ada elemen lain yang mempengaruhinya.

"Kemungkinan suntingan lazimnya hanya ada jika audio dari peranti dipindahkan ke komputer untuk disunting dengan aplikasi tertentu," katanya.

Semalam, Potral Harian Metro menyiarkan kisah ibu tiga anak, Siti Natrah yang menjadi bualan warganet selepas berkongsi sebuah video di Facebook (Fb) miliknya, Jumaat lalu.

Menerusi rakaman video berdurasi 14 saat itu, kedengaran suara misteri seperti merayu dan meraung meminta tolong ketika Siti Natrah berseorangan duduk di atas jengkaut di kawasan Tanah Perkuburan Islam Sireh, Pelabuhan Klang, Selangor.

Siti Natrah mendakwa terkejut selepas memainkan semula rakaman video berkenaan tidak pasti daripada mana datangnya suara misteri itu tetapi menjadikan apa yang berlaku sebagai peringatan buatnya.

Berita berkaitan

  • 'Suara misteri di tanah perkuburan dalam video bukan suntingan' [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2020 @ 3:23 PM