ANTARA masjid di Sanglang yang ditutup buat sementara waktu pada 7 Ogos lalu akibat penularan Covid-19. FOTO Bernama
ANTARA masjid di Sanglang yang ditutup buat sementara waktu pada 7 Ogos lalu akibat penularan Covid-19. FOTO Bernama
BERNAMA

DUA BELAS masjid dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang, Simpang Empat dan Guar Sanji yang ditutup lebih dua minggu sejak 7 Ogos lalu, susulan penularan wabak Covid-19 di Perlis, dibuka semula hari ini.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah pembukaan semula masjid berkenaan bagi membolehkan orang ramai kembali menunaikan solat berjemaah dan menjalankan aktiviti pengimarahan termasuk kuliah agama, mulai waktu solat Zohor.

"Adalah diingatkan kepada seluruh rakyat, agar sentiasa mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan kerana kita semua masih berada dalam suasana berjaga-jaga kerana wabak ini (Covid-19) masih lagi berada bersama kita," titah baginda dalam satu kenyataan, hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), bertitah meminta pihak pengurusan masjid sentiasa bersiap siaga dan membuat persiapan awal dalam menghadapi sebarang kemungkinan jika ada keperluan untuk menutup semula masjid.

Pada 7 Ogos lalu. MAIPs mengarahkan semua 12 masjid di tiga DUN berkenaan ditutup berikutan pertambahan kes baharu Covid-19 di Perlis.

Kerajaan juga mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (TEMCO) di dua kampung di Kuala Sanglang iaitu Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul bermula 10 ogos hingga 31 Ogos.

Setakat semalam, terdapat sebanyak 9,257 jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di negara ini dan Perlis merekodkan 31 kes tanpa penambahan kes baharu sejak 16 Ogos.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2020 @ 12:23 PM