ARIFFIN DERAMAN
ARIFFIN DERAMAN
Malik Muhamad


"BELUM mesyuarat lagi di peringkat negeri." Demikian reaksi Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman.

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah gabungan Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN) negeri sudah mengadakan perbincangan lanjut berhubung pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata, setakat ini MN peringkat negeri yang dianggotai Pas, Umno dan dan terbaharu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), belum lagi bermesyuarat mengenai pembahagian kerusi PRU-15, namun akan berbincang dalam masa terdekat.

"Setakat ini kita belum lagi mengadakan mesyuarat MN atau PN peringkat negeri Terengganu untuk membincangkan perkara itu.

"Oleh kerana Pas, Umno dan Bersatu sudah ada dalam PN, Insya-Allah kita akan adakan mesyuarat dalam masa terdekat di peringkat negeri kerana belum sampai masanya kita bincang tentang pembahagian kerusi (PRU-15).

"Pada saya tidak ada masalah apabila kita dapat duduk sekali bincang, Insya-Allah tidak ada masalah," katanya ketika sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Kursus Kampung Budaya Terengganu 2020 di Kuala Nerus, hari ini.

Bercakap mengenai tuntutan kerusi dalam MN itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri berkata, pembahagian kerusi PRU-15 itu akan dibincangkan di peringkat Majlis Presiden tiga parti berkenaan.

"Sesiapapun boleh bercakap, tapi dalam isu pembahagian kerusi (PRU-15) ini telah ada jawatankuasanya iaitu Majlis Presiden yang akan memutuskan mengenai pengagihan kerusi tersebut di seluruh negara.

"Di Terengganu pula, bagi pihak Pas, mesyuarat itu akan diketuai Dr Alias Razak manakala Datuk Din Adam bagi Umno dan bagi Bersatu, saya tidak pasti siapa mewakilinya.

"Kita turut diadakan mesyuarat di peringkat Bahagian atau Parlimen. Tapi kali ini fokus kita lebih kepada politik. Selain itu kita mengarahkan di peringkat Kawasan (Bahagian) atau Parlimen dapat menubuhkan jawatankuasa bersama Pas, Umno dan Bersatu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2020 @ 8:37 PM